Sejarah Politeknik Balik Pulau

Politeknik Balik Pulau ( PBU ) merupakan politeknik yang ke-21 di Malaysia dan politeknik yang kedua di Pulau Pinang. Ia telah ditubuhkan pada 1 Februari 2007. PBU akan beroperasi dalam tiga fasa. Berdasarkan kepada perancangan, PBU akan menawarkan pelbagai kursus Diploma dalam Bidang Teknologi Maklumat, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal dan Hospitaliti di kampus tetap PBU. Pengoperasian PBU dalam fasa pertama dilaksanakan di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dengan menawarkan Kursus Sijil Teknologi Maklumat dan kemasukan pelajar yang pertama adalah pada bulan Julai 2007. Bilangan staf PBU yang terkini adalah seramai 51 orang. Bilangan staf dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

Pada bulan Oktober 2007, PBU telah berpindah ke Kampus Transit di Ideal Avenue ( I-Avenue ) yang terletak di Medan Kampung Relau, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Ini merupakan fasa yang kedua bagi pengoperasian PBU. Kampus transit ini dikelilingi dengan pelbagai kemudahan seperti bank, kompleks membeli-belah, pasaraya, restoran dan pelbagai kemudahan lain. Dalam usaha untuk menjadikan persekitaran pembelajaran yang kondusif, kampus transit PBU juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik darjah, perpustakaan, makmal komputer, koperasi dan dewan utama beserta surau.

PBU telah memasuki pengoperasian fasa ketiga apabila kampus tetap di Balik Pulau mula beroperasi pada Ogos 2013. Kampus tetap seluas 100 ekar tersebut dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur dan bangunan seperti bangunan serbaguna, kuarters, asrama, perpustakaan dan kemudahan sukan dalaman dan luaran. Dengan komitmen daripada staf PBU serta sokongan daripada Bahagian Pengurusan Politeknik ( BPP ), Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti ( JPPKK ) dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia ( KPTM) , PBU beraspirasi untuk menjadi pusat pembelajaran yang mantap dan dipercayai seterusnya mampu melahirkan tenaga kerja berdaya saing di dalam mahupun di luar negara.

Berkaitan